Tuesday, August 31, 2010




Petikan: Aura Personaliti Warna / Mir Hazil Azran Ramli / PTS Publications (2008).

SOSIAL

Personaliti Kuning (PK) adalah personaliti yang mengutamakan keceriaan. Mereka sukakan kegembiraan, keseronokan, bersikap periang, manja, mudah mesra dan kadangkala berwatak seperti keanak-anakan. Ini menjadikan mereka nampak muda remaja dan bertenaga. Mereka juga suka mendengar ataupun berjenaka bagi menceriakan diri ataupun orang lain.


Ketawa dan senyuman sering menjadi
suatu aktiviti yang cuba diisi dalam rutin harian mereka dan ini menyebabkan kehadiran mereka sering dialu-alukan. Bagi PK, 'kehidupan adalah menggembirakan'. Ia perlu dinikmati, semakin tinggi kegembiraan yang dikecapi maka semakin sempurna hidup. Mereka sering menasihati orang lain terutamanya kenalan rapat supaya tidak bersikap terlalu serius dengan sesuatu perkara, terutamanya pada masalah, tekanan ataupun kesedihan.

PK menganggap sesuatu yang berlaku adalah takdir yang tidak dapat diubah. Apa yang perlu dilakukan adalah memberi fokus pada masa kini dan masa depan. Sikap mereka yang positif ini menyebabkan mereka sering menjadi perhatian dan mendapat ramai kenalan. Walaupun umumnya personaliti kuning seorang yang ceria dan mempunyai ramai kenalan, hakikatnya mereka kesunyian.

Ramai kenalan tidaklah bermaksud mereka sudah berjaya menjalinkan hubungan yang akrab. Kebanyakan kenalan adalah 'rakan di kala gembira' sahaja. Mereka mengharapkan PK untuk menceriakan mereka. Oleh itu, jiwa atau perasaan dalaman PK sebenarnya kesunyian dan mereka sentiasa mencari kegembiraan. Malah ada kalanya mereka bergembira semata-mata demi lari dari kesedihan, masalah atau rasa sunyi itu sendiri. PK adalah seorang yang aktif dan gemar berkomunikasi kerana melaluinya mereka dapat mengasah dan menunjukkan kekreatifan mereka. Selain itu, komunikasi juga dapat membuatkan mereka ceria, terhibur dan menghiburkan. Mereka berkomunikasi dengan suara yang jelas dan bertenaga disertai unsur humor, jenaka dan gelak ketawa.

PK juga mudah dikenali melalui keriangan dan keceriaan yang mereka miliki atau tampilkan. Malah, personaliti mereka menonjol melalui cara mereka yang bersahaja dan selamba dalam mengeluarkan pendapat atau idea yang bernas, kreatif atau bersifat artistik. Namun begitu, idea mereka lebih tertumpu kepada perasaan keriangan pada sesuatu dan bukan kepada kaedah teknikal menghasilkannya. Mereka juga belajar melalui tindakan dan pengalaman, selain sikap ceria, kreatif dan aktif dalam hubungan sosial, mereka juga dilihat cekap belajar dan memproses informasi sekeliling mereka. Mereka tahu topik apa yang sesuai untuk diperbualkan ketika berada di dalam sesuatu kumpulan. Mereka mampu dan suka bercakap atau berbincang dalam isu politik, kehidupan, kewangan, sosial hingga mengenai isu kerohanian.

PK juga peka, mereka umpama sebuah antena bergerak yang berupaya mengesan dan menerima apa yang orang lain rasa, kata ataupun fikirkan. Ini menjadi kelebihan dalam meningkatkan kemahiran mereka. Pola pemikiran yang teknikal dalam memproses maklumat baru menjadikan baru menjadikan PK cepat mempelajari ilmu sains dan teknologi. Mereka cekap dengan peralatan moden, komputer, teknologi dan sebagainya. Daya fikiran yang cekap dan kreatif menjadikan mereka cepat memahami konsep dan kegunaan peralatan berteknologi moden, lebih-lebih lagi yang bermanfaat serta yang memberikan keceriaan ataupun yang membuatkan mereka berasa gembira dan terhibur. Sesetengah PK kreatif dalam hasil seni tangan. Mereka suka menghasilkan sesuatu secara kreatif dan spontan. Antaranya, hasil lukisan, penulisan, ukiran tangan, gubahan bunga, seni lipatan kertas, seni mengecat, grafik dan sebagainya.

Ada kalanya mereka mampu mengubah bentuk sesuatu barang yang asalnya kurang menarik menjadi sesuatu yang mempunyai nilai seni. Semua ini semata-mata bagi menghasilkan keceriaan pada setiap yang dilihat, dilakukan ataupun yang dilalui. Mereka cepat bosan dengan perkara yang sama, maka daya kreativiti mereka sering mencorakkan pelbagai aspek dan benda dalam hidup mereka. Sifat keanak-anakan juga membantu menjadikan idea mereka kelihatan segar dan penuh warna. Mereka mahu hidup dalam suasana yang meremajakan diri. Ini juga menjadikan personaliti kuning suka dan sering mengembara bagi mencari serta menikmati keceriaan baru di dalam hidup. Bahasa tubuh mereka juga jelas. Sekiranya berada dalam suasana gembira, wajah dan tubuh mereka menggayakannya dengan jelas. Maka, sukar bagi mereka menyembunyikan kesedihan atau kemurungan yang berlaku.

Tubuh mereka tidak pandai menipu. Justeru itu, mereka suka berterus terang. Sikap ini menyenangkan pasangan mahupun orang lain kerana komunikasi dengan mereka sentiasa jelas tanpa berselindung. Sikap berterus terang ini dapat dinilai sebagai sebuah kejujuran dalam perhubungan. Ini menjadikan PK mudah mesra dan pandai hidup berdikari. Sifat ini juga menjadikan mereka suka bersama orang lain terutamanya dengan kenalan baru. Mereka sentiasa bertenaga bagi tujuan persahabatan atau perhubungan sosial. Tenaga ini seolah-olah menjadi suatu tenaga penyembuhan alami kepada orang lain kerana tatkala bersama mereka segala keresahan dan masalah menjadi ringan dengan keceriaan mereka. Ini menjadikan PK juga dilihat sebagai ahli perawat semulajadi. Tenaga keceriaan PK melimpah-ruah. Sekiranya mereka tidak belajar mengalirkan tenaga keceriaan ini ke arah kebaikan, mereka cenderung menggayakannya ke arah yang negatif. Ini menjadikan mereka terperangkap dalam tabiat yang salah dalam mengekspresikan kegembiraan dalam hidup. Amalan yang tidak sihat dalam menikmati keseronokan mengakibatkan PK leka dan lalai. Kelak, apabila kebanyakan tenaga dilaraskan kepada hiburan yang merosakkan sahaja, mereka kehabisan atau kekurangan tenaga bagi perkara baik. Ini menyebabkan mereka menjadi seorang yang pemalas, gemar tidur, suka memberi alasan, sukar memberi fokus yang lama dalam sesuatu hal dan tidak tetap dalam pekerjaan atau keputusan. Walaupun begitu, mereka masih cekap dalam memberi alasan apabila perlu. PK perlukan masa bersendirian bagi mencari jati diri mereka. Melaluinya rasa damai dan tenang segera diperoleh. Seterusnya mereka mampu menjadi lebih matang dan semakin mahir dalam bersosial.



PERHUBUNGAN

PK mahukan pasangan yang dapat mengambil berat mengenai diri mereka. Sikap mereka yang peka dan sukakan keceriaan menjadikan mereka agak memilih dalam perhubungan peribadi. Mereka mahukan pasangan yang memahami dan berharap pasangan mereka tidak menghalang kebebasan yang mereka ada. Kebanyakan PK suka hidup bersendiri. Mereka takut menjalin hubungan yang terlalu serius kerana mereka kurang yakin pada komitmen. Mereka inginkan kebebasan dalam menghayati kehidupan yang dilalui. Ini menjadikan mereka teragak-agak mahu menjalinkan suatu perhubungan yang serius kerana bagi mereka ia hanya mengehadkan kebebasan yang dinikmati. Selain itu, mereka juga takut pada kekecewaan sekiranya ditinggalkan pasangan.

Lalu, bagi mengelakkan semua ini terjadi, mereka lebih suka mengamalkan sikap menghindari supaya sesuatu hubungan yang serius tidak berlaku terlalu cepat. Berpacaran dengan PK memerlukan kesabaran bagi memberi lebih ruang dan masa kepada mereka sebelum mereka mampu membuat keputusan mengenai perhubungan itu. Sekiranya PK sudah mula menerima kehadiran pasangan hidupnya, perhubungan intim atau seksual adalah penting bagi mereka. Melaluinya mereka dapat menyalurkan keaktifan, daya kreatif dan keceriaan mereka.

Tubuh fizikal mereka sensitif dan sentiasa inginkan pergerakan, belaian dan sentuhan. Mereka juga mementingkan kepuasan dan keseronokan dalam perhubungan. Sifat PK yang bertenaga menyebabkan mereka selesa bersama personaliti merah, jingga dan PK itu sendiri. Kumpulan ini adalah kumpulan yang mempunyai tenaga yang banyak. Selain itu, personaliti yang bersesuaian dengan kuning adalah violet. Kehadiran violet dapat meningkatkan tahap pemikiran PK untuk berfikir dengan lebih kreatif, berwawasan dan berfantasi. Personaliti yang kurang digemari oleh kuning adalah personaliti biru yang mementingkan perhubungan akrab serta melibatkan perkara yang berkaitan perasaan, emosi, kesungguhan, dan komitmen. Perkara ini bertentangan dengan personaliti kuning yang tidak suka terikat dengan sesuatu komitmen atau isu perasaan yang terlalu romantis.

Seperti yang sudah dijelaskan, PK banyak menunjukkan emosi mereka melalui bahasa badan. Mereka yang sedang marah, bersedih atau bergembira mudah dikesan melalui bahasa badan mereka yang tidak pandai menipu. Maka, pasangan kepada PK perlu peka, faham dan bersabar dengan reaksi bahasa tubuh personaliti ini bagi melihat perhubungan yang terbina akan menjadi bertambah erat dan berjaya. Namun, dalam soal ini, PK pula perlu sedar. Sikap terlalu berterus terang hanya menyebabkan pasangan mereka hilang sabar ataupun bosan.

KEWANGAN DAN KERJAYA

Biasanya, PK tidak mempunyai terlalu banyak masalah dengan isu kewangan. Mereka mampu menjana pendapatan dengan mudah melalui idea mereka yang kreatif serta bersedia bekerja kuat bagi memperolehnya. Mereka bijak merancang serta mampu mengguna kebolehan bagi menghasilkan pendapatan. Namun, mereka mempunyai kelemahan dalam menguruskan pendapatan mereka. Wang mudah mengalir masuk dan keluar kerana mereka bijak menjana tetapi agak boros berbelanja. Ini juga menyebabkan mereka sukar untuk mempunyai perancangan kewangan bagi jangka masa panjang. PK sesuai melakukan sesuatu tugasan atau projek yang baru kerana mereka memiliki daya kreativiti, keaktifan dan keceriaan secara semula jadi. Walau bagaimanapun mereka memiliki sifat cepat bosan dengan sesuatu tugasan seperti kata peribahasa Melayu;'Hangat-hangat tahi ayam'. Mereka sering kelihatan bersemangat dalam melakukan sesuatu tugasan pada peringkat awalnya tetapi cenderung untuk tidak menyempurnakan tugasan itu. Mereka gembira dan teruja ketika di awal sesuatu kerja atau projek, namun sikap mereka yang sering tidak serius ketika bekerja menyebabkan mereka sukar menghabiskan tugasan yang diberi. Mereka suka menangguhkannya apabila mereka berasa bosan atau tidak teruja lagi, dan mereka hanya meneruskannya semula apabila perasaan mereka kembali bersemangat dan ceria.

PK perlu belajar mengekalkan momentum di dalam sesuatu tugasan atau kerja. Ini menjadikan mereka lebih komited dan bertanggungjawab. PK kreatif dalam mencari penyelesaian secara mudah dan unik untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Mereka suka mencari penyelesaian yang berbeza dengan cara yang baru dan menarik. Mereka sesuai untuk dijadikan rakan sekerja kerana selain kreatif, mereka juga mempunyai motivasiyang tinggi. Mereka memimpin dengan memberi kata-kata semangat kepada teman ataupun orang bawahan mereka serta mengamalkan kepimpinan melalui teladan. Mereka tidak hanya sekadar bercakap ataupun memberi arahan sahaja tetapi turut mengaplikasikannya melalui tindakan mereka. Pekerjaan yang bersesuaian dengan PK adalah sebagai atlit, pengamal perubatan, penghibur, chef, mekanik, ahli psikologi, pemandu pelancong, pramugara ataupun pramugari, dan ahli perniagaan.

KESIHATAN DAN PERTUMBUHAN

PK perlu selalu merangsang aktiviti yang berkaitan dengan minda. Minda yang sihat dapat menghasilkan tubuh badan yang sihat kerana kedua ini saling berkait rapat di antara satu sama lain. Aktiviti seperti menyanyi, menari, meditasi dan bersolat adalah efektif dalam menjanakan minda dan tenaga tubuh mereka. Senaman yang bersesuaian dengan PK adalah aktiviti yang bersifat riadah di luar rumah seperti sukan tenis, badminton, bola sepak, sepak takraw dan lain-lain. Aktiviti bersukan dapat memberi ransangan kepada PK kerana mereka menikmati aktiviti yang menyeronokkan, ceria serta dapat bersama orang lain. Bersukan adalah salah satu cara mudah bagi mencipta keriangan pada tubuh dan jiwa PK. Aktiviti pantai dan laut juga bersesuaian dengan PK. Antara aktiviti yang dapat dilakukan adalah seperti belayar, berenang dan bermain bola sepak pantai. Selain itu, bagi amalan harian yang ringkas dan mudah, mereka bolehlah menjalankan aktiviti ringan seperti berbasikal dan berjoging di taman. Ia dapat memudahkan pengaliran tenaga mereka di samping mencipta rasa gembira dan ceria. Cara ini juga dapat membantu mereka meluahkan idea yang lebih kreatif serta mengalirkan sikap ceria mereka kepada sesuatu yang lebih berfaedah. Jika mereka memilih aktiviti yang kurang sesuai untuk mengalir dan menjanakan tenaga mereka, kemungkinan ia hanya menyekat perkembangan potensi, kesihatan dan bakat semula jadi yang ada pada mereka. Bagi mendapatkan kesihatan yang lebih baik, mereka perlu lebih peka dengan bahasa badan mereka yang mudah terangsang bagi melakukan aktiviti berbentuk fizikal. Namun, mereka juga perlu tahu had batasan kekuatan tenaga mereka. Ini kerana penggunaan tenaga yang berlebihan hanya akan memberikan kesan negatif pada pertumbuhan mereka. Tubuh PK adalah peka berbanding personaliti lain daripada segi fizikal dan minda. Ini antara contoh semula jadi yang menjelaskan interaksi minda dan tubuh dalam menguruskan kehidupan manusia serta bagaimana melalui kepekaan fikiran dapat membantu manusia membuat penilaian dan keputusan. PK memilikinya dan mereka perlu belajar menguasainya. Lalu, mereka perlu belajar menjaga fizikal badan dan minda mereka dengan lebih serius berbanding orang lain. Bagi pertumbuhan PK, mereka juga perlu lebih komited dalam perhubungan kerana dengan berbuat demikian, perkembangan dalam hubungan menjadi baik. Mereka juga perlu sedar, mereka tiada dapat lari daripada masalah dan mesti berani menghadapinya. Mereka perlu menggunakan fikiran yang kreatif dengan sepenuhnya bagi menyelesaikan sebarang masalah kerana daya kreatif itulah kelebihan mereka. Mereka perlu menggunakan masa mereka dengan lebih efektif terutamanya dalam perkara yang berkaitan dengan pertumbuhan diri.

PK memerlukan lebih masa supaya dapat mengenali diri sendiri secara mendalam. Mereka perlu lebih merenung ke dalam diri mereka serta menggunakan pengalaman hidup mereka supaya dapat menikmati kegembiraan hakiki dan bukan hanya mencipta kegembiraan luaran yang bersifat sementara.

2 comments:

sibersensasi said...

info yang menarik,terima kasih kerana berkongsi

imelda said...

hi there how are u doing? hoping ur having a good wednesday